Saturday, August 20, 2016

FONETIK DAN FONOLOGI ARAB siri 1: KITAB AL ASWAT AL LUGHAWIYAH

 

Pengenalan

- Fonetik berasal daripada perkataan Greek iaitu suara atau bunyi. Ia merupakan ilmu yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia secara umum.

- Fonologi ialah ilmu yang memfokuskan bunyi-bunyi manusia yang  membentuk perkataan,ayat dan bahasa. Dan ia juga dinamakan dalam bahasa arab sebagai Ilm al Aswat iaitu ilmu suara.

- Fonetik dan Fonologi merupakan cabang bagi ilmu bahasa (linguistik) dan keduanya saling terkait antara satu sama lain.

- Terdapat beberapa pengkaji moden yang mengatakan Fonetik khusus daripada sudut deskriptif iaitu penyifatan bunyi . Manakala, Fonologi memfokuskan kepada sudut sejarah bunyi dan perubahan-perubahan yang berlaku padanya.

- De Saussure ( 26 November 1857 – 22 February 1913) mengistilahkan kedua ilmu ini sebaliknya. Beliau memandang Fonetik mengkaji sejarah bunyi dan Fonologi mengkaji sifat bunyi.

                                                            
                                               gambar rajah 1.0 Ferdinand Mongin de Saussure. Beliau merupakan seorang pakar linguistik dan semiologi yang berasal daripada Geneva,Switzerland

- Banyak karya ulama arab silam yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa arab dan menyifatkan setiap huruf-huruf arab. Kajian mereka khusus untuk menjaga sebutan huruf-huruf Al Quran (tartil) agar tidak berlaku kesalahan dalam bacaan Al Quran

- Pada zaman moden ini, Ilmu fonetik arab terkesan dengan ilmu fonetik eropah melalui kajian-kajian pengkaji eropah.


Fenomena Bunyi

- Bunyi dapat dikesan melalui getaran pada jisim. Getaran-getaran yang wujud pada jisim objek merupakan sumber bunyi dan ia mampu berpindah melalui gas,cecair dan pepejal hingga sampai ke pendengaran manusia.

- Getaran-getaran yang wujud berpindah dalam bentuk gelombang. Pakar-pakar aeronautik berpendapat kelajuan bunyi sekitar 332 meter sesaat.

- Kejelasan sesuatu bunyi dipengaruhi oleh jarak telinga(pendengaran) dengan tempat berlakunya getaran. Pitch iaitu tingkat bunyi merupakan pengukur bagi bunyi-bunyi dalam seni muzik. Tingkat bunyi berasal daripada eropah dan disusun berdasarkan not paling rendah hingga tinggi iaitu Do,Re,Mi,Fa,Sol,La,Si...

- Tingkat bunyi arab berbeza dengan eropah. Bunyi yang dalam dan rendah dipanggil sebagai قرار (qarar) dan tinggi dipanggil حاد (haad) . Pakar muzik dapat mengenalpasti tingkat-tingkat bunyi dengan mudah.

- Tingkat bunyi diukur berdasarkan bilangan getaran-getaran sesaat yang dikenali sebagai frekuensi, Jika bertambah getaran-getaran sesaat maka bertambah ketinggian bunyi.

                                                                                         gambar rajah 2.0 Contoh gelombang frekuensi

- Bunyi mempunyai pelbagai jenis dan sifat yang tersendiri. Contohnya bunyi violin dan gitar dapat dikenalpasti perbezaannya ketika dimainkan dalam not rendah. Kedua-dua bunyi daripada medium yang berbeza tetap dapat dibezakan walaupun berada dalam tingkat bunyi yang sama. 
            


Ditulis oleh:

Amirul Asyraaf bin Noor Shaini,
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti Al Bayt Jordan

Friday, August 12, 2016

DISKUSI BAHASA ARAB siri 2 : KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH


Tujuan Tasybih التشبيه :

1) Menerangkan kemampuan musyabbah  بيان إمكان المشبه : Menjadikan musyabbah mampu pada perkara yang asalnya tidak mampu dilakukan. Contohnya seperti dalam syair Al-Buhturi البختري :

دان إلى أيدي العفاة وشاسع     عن كل ند في الندى وضريب
كالبدر أفرط في العلو وضوؤه     للعصبة السارين جد قريب

Maksudnya: "Dia dekat dengan tangan-tangan orang yang memerlukan dan jauh berbeza darjat kemuliannya. Dia umpama bulan  yang tinggi tapi cahayanya dekat dengan  kafilah-kafilah pengembara."

Al-Buhturi mengumpamakan seseorang (raja) yang dekat dengan orang yang memerlukan (rakyat) tetapi pada hakikatnya jauh di kediamannya dengan pengembara-pengembara yang berjalan pada waktu malam dimana jauhnya bulan di langit, tetapi cahayanya dekat dengan pejalan tersebut. Tasybih ini menerangkan kemampuan raja untuk menjadi dekat walaupun hakikatnya dia berada jauh daripada rakyatnya.

2) Menerangkan keadaan musyabbah بيان حاله:  Tasybih menyifatkan musyabbah yang pada asalnya tidak diketahui sifatnya. Contohnya seperti yang dikatakan oleh Al-Nabighah النابغة:

كأنك شمس والملوك كواكب     إذا طلعت لم يبد منهن كوكب

Maksudnya:"Engkau seperti matahari dan pembesar-pembesar adalah bintang-bintang. Bila matahari terbit , bintang-bintang tidak kelihatan."

Syair ini mengumpamakan raja dengan matahari dan pembesar-pembesarnya dengan bintang-bintang.  kehebatan raja melebihi pembesar-pembesarnya kerana ketika matahari muncul bintang-bintang tidak kelihatan. Tasybih dapat menerangkan keadaan raja dan pembesar-pembesarnya.

3) Menerangkan kadar keadaan musyabbah بيال مقدار حاله: Menerangkan tahap sesuatu sifat pada musyabbah yang telah diketahui sifatnya . Berkata Al-Mutanabbi المتنبي ketika menyifatkan mata singa:
ما قوبلت عيناه إلا ظنتا     تحت الدجى نار الفريق حلولا
Maksudnya " Tidak ditemui kedua matanya melainkan hanya sangkaan. Api sekumpulan yang sedang duduk dalam kegelapan."

Al-Mutanabbi menyifatkan tahap kemerahan mata singa sama  dengan tahap kemerahan unggun api yang dikelilingi manusia  dalam kegelapan.Tasybih dapat menerangkan kadar kemerahan mata melalui kadar kemerahan api.

4) Mengukuhkan keadaan musyabbah تقرير حاله: Pengukuhan kenyataan melalui tasybih,jika tiada tasybih maka musyabbah tidak kuat dan kukuh.

Contohnya Allah S.W.T telah berfirman dalam Al-Quran (13:14)
"لَهُ دَعْوَةُ الْحَقِّ ۖ وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِهِ لَا يَسْتَجِيبُونَ لَهُم بِشَيْءٍ إِلَّا كَبَاسِطِ كَفَّيْهِ إِلَى الْمَاءِ لِيَبْلُغَ فَاهُ وَمَا هُوَ بِبَالِغِهِ ۚ وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَال"
Maksudnya: "Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan."
(Ar-Ra'd 13:14)

Adapun ayat Al-Quran ini menjelaskan tentang sesiapa yang menyembah berhala dimana doa mereka tidak didengari dan dijawab oleh berhala tersebut. Musyabbahdikukuhkan lagi dengan menyamakan keadaan tersebut dengan orang yang membuka kedua tapak tangan mereka ke dalam air agar sampai ke dalam mulutnya (minum), sedangkan air itu tidak akan sampai ke mulutnya.

5) Mencantikkan dan memburukkan musyabbah تزيين المشبه أو تقبيحه: Menghiasi musyabbah dengan pujian atau memburukkannya dengan kejian.

Contohnya seseorang mengumpamakan musuhnya dengan monyet bertujuan mengejinya:

عدوي قرد
Maksudnya:" Musuhku adalah monyet"

- Tasybih mufrad paling tinggi martabatnya ialah tasybih baligh. Manakala tasybih maqlub paling tinggi martabatnya berbanding tasybih mufrad,dhimni dan tamsili.

- Kecantikan tasybih terletak pada pengurangan unsur tasybih.

- Golongan terkemudian المحدثون kebiasaannya mentasybihkan suatu sifat dengan sesuatu. Contohnya, berani seperti singa, kecantikan wajah seperti bulan dan matahari, ketinggian darjat seperti bintang, dan sebagainya. Manakala, terdapat golongan terdahulu القدماء mentasybihkan suatu sifat (baik dan buruk) dengan seseorang yang masyhur dengan sifat tersebut. Contohnya, ‘adil seperti ‘Umar عمر, cerdik seperti Luqman لقمان , orang yang suka menyindir seperti Huthaiah الحطيئة, kedekut seperti Marid مارد, dan sebagainya.


Hakikat dan Majaz الحقيقة والمجاز

- Hakikat ialah lafaz(perkataan/ayat) yang digunakan pada tempatnya
.
- Majaz ialah ."هو اللفظ المستعمل في غير ما وضع له لعلاقة مع قرينة مانعة من إرادة المعنى الحقيقي " iaitu
lafaz (perkataan/ayat) yang digunakan bukan pada tempatnya dan wujud hubungan dengan qarinah yang menghalang daripada sampai kepada maksud asal.

- Terdapat lafaz yang menghalang daripada sampai kepada maksud yang hakiki(biasa) dan mempunyai hubung kait. Contohnya, di dalam Al-Quran (2:19):

..يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم ....
mereka menyumbat jari-jari ke dalam telinga  .
(Al-Baqarah 2:19)

-Yang dimaksudkan dengan "أصابعهم في ءاذانهم" ialah dengan memasukkan sebahagian jari sahaja di dalam telinga dan bukan keseluruhannya, dan telinga merupakan petanda yang menghalang daripada sampainya maksud yang hakiki iaitu kemasukan kesemua jari ke telinga mereka.

- Adapun para ilmuwan telah berbeza pendapat tentang kewujudan majaz مجاز:

1) Terdapat ilmuwan yang tidak mempercayai kewujudan majaz disebabkan mereka memahami  sesuatu lafaz itu berdasarkan konteks ayat bukan takwilan pada perkataan.

2)Tiada dalam Al-Quran, tetapi ada pada bahasa dan mereka tidak menakwilkan ayat mutasyabihat.

3) Ada pada Al-Quran dan bahasa itu sendiri.dan mereka cenderung menakwilkan ayat mutasyabihat.




Tulisan ini merupakan kesimpulan diskusi yang telah ditulis oleh:
Muhammad Danial bin Azmir
Tahun 1 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan

Disemak dan disunting oleh:
Amirul Asyraaf bin Noor Shaini
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan




* DISKUSI BAHASA ARAB :KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH  merupakan sebuah program anjuran Unit Takhassus Bahasa dan Kesusasteraan Arab Biro Akademik dan Intelektual (BAKI) bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti al Bayt Jordan (PRISMA). Program ini merupakan program berbentuk perbincangan yang dikendalikan dan dihadiri oleh Mahasiswa Universiti Al Bayt.

Thursday, August 11, 2016

DISKUSI SASTERA ARAB siri 1 :KITAB Al ASRU Al JAHILIYY

Perkataan Adab كلمة أدب 

- Perkataan ini telah mengalami perkembangan yang banyak melalui zaman.

- Maksud adab pada zaman kita hari ini adalah kata-kata yang disusun dengan elok supaya dapat memberi kesan kepada pembaca atau pendengar, sama ada berbentuk syair atau nathar.

- Pada zaman Arab Jahiliah , perkataan أدب bermaksud walimah ataupun kenduri (الدعى الى الطعام)

- Pada zaman awal kemunculan Islam, istilah adab diguna pakai dari sudut akhlak. Berdalilkan hadis nabi (أدبني ربي فأحسن تأديبي)
Maksudnya:" Tuhanku telah mengajarkan aku akhlak dan ia adalah sebaik-baik ajaran . Begitu juga pada zaman مخضرم Mukhaddram. .

- Carlo Alfonso Nalino, seoramg pengkaji orientalis berpandangan pada zaman Jahiliyyah, adab membawa maksud tradisi atau perjalanan hidup nenek moyang (سنة و سيرة الأباء)  dengan beranggapan bahawa ada perkaitan antara makna أدب (adaba) dan دأب (da’aba).

- Pada era Dinasti Umaiyyah, istilah  perkataan أدب mempunyai makna yang sama pada zaman awal kemunculan islam iaitu pendidikan,pengajaran (التعليمي والتذهيبي) . Akan tetapi wujud pertambahan istilah baru المؤدبين (muaddabin) iaitu gelaran yang digunakan pada guru-guru yang dilantik oleh khalifah untuk mengajar anak-anak mereka tentang pengetahuan berkaitan dengan budaya arab dan Islam.

 - Pada era Dinasti Abbasiyyah,  istilah adab (التعليمي والتذهيبي) digunakan pada tajuk-tajuk bab atau kitab oleh para ilmuwan pada zaman tersebut. Sebagai contoh ابن المقفع (Ibn Muqaffa) dalam risalahnya الأدب الصغير dan الأدب الكبير. Kedua-dua risalah tersebut mengandungi kata-kata hikmah dan nasihat-nasihat yang mempunyai pengajaran tentang akhlak dan siasah.

- Pada kurun kedua hijrah dan kurun-kurun seterusnya, adab mula dikaitkan sebagai pengetahuan tentang syair-syair dan kisah-kisah Arab. Sebagai contoh, البيان والتبيين yang dikarang oleh الجاحظ (al-Jahiz), الكامل في اللغة والأدب oleh المبرد (Mubarrad) dan sebagainya. Kitab-kitab seperti dikategorikan sebagai كتب أدب (buku-buku sastera) .

- Lama kelamaan, istilah adab tidak lagi tertakluk kepada makna-makna yang telah disebutkan di atas (dari segi agama, akhlak, sastera dll). Tetapi istilah ini mula digunakan dalam ilmu-ilmu yang tiada kaitan dengan agama. Contohnya,حسن بن سهل (Hasan Bin Sahal) berpandangan, bahawa adab ini adalah apa yang masyarakat lazimi (adat) atau apa-apa yang berkaitan dengan sosiomasyarakat.

-Pada petengahan kurun ke-20, timbul dua pecahan makna iaitu makna umum dan khusus. Makna umum bagi adab (dalam bahasa Perancis Literature) adalah apa-apa penulisan yang berkaitan dengan semua cabang ilmu. Makna khusus bagi adab pula, apa-apa yang berkaitan dengan sastera ataupun kesenian.

Sejarah Sastera تاريخ الأدب 

- Pengkaji sejarah yang mengkaji adab mengikut takrifan adab yang umum iaitu mengkaji tentang perkembangan peradaban sesebuah masyarakat. Contohnya, Carl Brockelmann yang menulis sebuah buku berjudul History of Arabic Literature (تاريغ الأدب العربي).

- Bagi pengkajian mengikut takrifan adab yang khusus pula ialah  mengkaji tentang kehidupan sasterawan-sasterawan dan perkembangan dalam karya sasteranya serta kesan-kesan penulisannya kepada masyarakat.

- Manhaj tarikh adab ini mula terkesan dengan ( التجريبية والطبيعية) ilmu sains tabie dan eksperimental Contohnya Saint Beuve mengkaji tentang pengkarya sastera secara terperinci dan menkategorikannya dalam pengkhususan tertentu sepertimana sains membahagikan hidupan kepada beberapa bahagian.

Brunetière pula terkesan dengan manhaj Darwinisma dengan mengatakan bahawa sastera ini berevolusi sepertimana hidupan lain.

- Pada kurun ke-19, adab mula dikaitkan dengan ilmu insaniah (sosiologi)

Pembahagian Zaman Peradaban Arab تقسيمات تاريخ الأدب العربي وعصره 

- Sejarawan Arab menetapkan pembahagian zaman bagi sastera Arab kepada:
1)Zaman Jahili
2)Zaman awal kemunculan Islam
3)Zaman Kerajaan Bani Umayyah
4)Zaman Kerajaan Bani Abbasiyyah
5)Zaman selepas kejatuhan Bani Abbasi sehingga kedatangan Napoleon

Sifat-sifat Semenanjung Tanah Arab صفات الجزيرة العربية 

-Tanah arab dinamakan sebagai جزيرة (Jazirah) kerana tanahnya yang dikelilingi air daripada tiga arah iaitu selatan, barat dan timur dan berbentuk seperti kepulauan.

- Ahli Geologi mengatakan  Tanah Arab adalah sebahagian daripada Afrika dan terpisah disebabkan perubahan bentuk muka bumi pada zaman dahulu. Mengikut pendapat dongeng rakyat Greek pula, Dewa Hercules yang memisahkan antara Afrika dan Tanah Arab.

- Mengikut kajian para ilmuwan Rom dan Yunani, Tanah Arab dibahagikan kepada tiga iaitu صحراوي (Sahrawi), صخروي (Sakhrawi) dan سعيدة (Saidah).

- Sahrawi terletak di kawasan badwi utara, negara-negara Syam dan Iraq. Strukturnya adalah berpadang pasir. Antara kerajaannya adalah (az-Ziba’) الزباء .

- Sakhrawi pula terletak di utara Hijaz dan selatan Laut Mati. Strukturnya adalah berbukit-bukit yang berbatu keras. Antara kerajaannya adalah kerajaan Nabatean.

- Saidah terletak di pertengahan semenanjung Tanah Arab sehingga ke selatannya. Strukturnya adalah tanah rata dan subur. Antara kerajaannya adalah kerajaan Saba’dan المعين.

- Geografi Tanah Arab terbahagi kepada lima iaitu تهامة,  (Tahamah), اليمن (Yaman), الحجاز (Hijaz), النجد (Najid), العروض (Al-Arudh).


 Bangsa Semitik الساميون 

- Semitik ini adalah kumpulan beberapa bangsa dan salah satu bangsa tersebut adalah bangsa Arab.

- Istilah semitik ini diambil daripada nama anak Nabi Nuh iaitu Sam. Pengkaji merujuk kepada The Book of Genesis.

- Terdapat pelbagai pendapat tentang orang asal yang bercakap menggunakan bahasa semitik antaranya:

1) Asal bahasa semitik adalah daripada anak keturunan Hami di Habsyah yang kemudian berhijrah ke Tanah Arab.
2) Bahasa semitik muncul bersama bahasa Aryan iaitu di tengah Asia Tengah.
3) Bahasa Semitik muncul di utara Syria
4) Muncul bersama tamadun di sungai Euphrates dan Tigris

- Tetapi kesemua para pengkaji bersepakat bahawa asal bahasa semitik adalah di kawasan Tanah Arab.

- Bangsa Semitik mengalami empat gelombang penghijrahan:

1) Bangsa Akad berpindah daripada Semenanjung Tanah Arab ke Iraq
2) Kerajaan كنعان (Ka’an) berhijrah daripada Semenanjung Tanah Arab ke Syam
3) Kerajaan أرمية (Aramiah) berhijrah ke kawasan arab badwi @ Iraq
4) الجانوبيون (Arab Selatan) berhijrah ke arah Lautan Hindi

Tulisan ini merupakan kesimpulan diskusi yang telah catit oleh:
Nusaybah Binti Ahmad Shazily,
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan

Disemak dan disunting oleh:
Amirul Asyraaf bin Noor Shaini
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan




*  DISKUSI SASTERA ARAB : Al ASRU Al JAHILIYY merupakan sebuah program anjuran Unit Takhassus Bahasa dan Kesusasteraan Arab Biro Akademik dan Intelektual (BAKI) bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti al Bayt Jordan (PRISMA). Program ini merupakan program berbentuk perbincangan yang dikendalikan dan dihadiri oleh Mahasiswa Universiti Al Bayt.

Wednesday, August 10, 2016

DISKUSI BAHASA ARAB siri 1 : KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH


Fasohah (الفصاحة )
Balaghah ( البلاغة )
Uslub ( الأسلوب)

Fasohah ialah sifat kepada lafaz(لفظ), kalam (كلام ) dan mutakallim (متكلم ). Contohnya, kita boleh kata: lafaz yang fasih, kalam yang fasih dan lelaki yang fasih. Adapun balaghah ialah sifat kepada kalam dan mutakallim sahaja. Contohnya, kalam yang baligh, lelaki yang baligh. Maka fasohah lebih umum dan balaghah lebih khusus. Setiap balaghah adalah fasohah, tetapi bukan setiap fasohah adalah balaghah.

Kalam yang fasih mempunyai makna yang jelas, senang untuk dilafazkan dan tidak mempunyai kesalahan. Contohnya perkataan al-muznah (المزنة ) dan ad-dimnah ( الدمنة ). Kedua-duanya membawa maksud yang sama iaitu, hujan yang turun tanpa guruh dan petir dan lebih senang untuk disebut dan didengari berbanding perkataan al-bu’aaq ( البعاق )  yang mempunyai makna yang sama dengan perkataan sebelumnya.

Syarat-syarat kalam yang fasih:

1- تسليم من ضعف التأليف
2- تسليم من تنافر الكلمات
3- تسليم من التعقيد اللفظي
4- تسليم من التعقيد المعنوي

1) Bebas daripada kelemahan penulisan iaitu terkeluarnya kalam daripada kaedah umum. Contohnya,"ضمير" (kata ganti nama) merujuk kepada perkataan yang selepasnya, dimana kaedah umum bagi kata ganti nama  adalah kembali kepada lafaz yang sebelumnya seperti yang terdapat dalam kata-kata  Hasan r.a. :

ولو أن مجدا أخلد الدهر واحدا       من الناس أبقى مجده الدهر مطعما

kata ganti nama pada مجده  merujuk kepada مطعما  iaitu lafaz yang berada selepasnya. Maka bait syair ini tidak fasih.

2) Kalimah yang tidak mengelirukan sehingga menyebabkan kesukaran pada penutur dan pendengar. Seperti kata seorang penyair:

وقبر حرب بمكان قفر      وليس قرب قبر حرب قبر

bait syair diatas dikatakan tidak mampu diucapkan dengan lancar walaupun telah diulang sebut sebanyak tiga kali.

3) Ayat yang digunakan tidak mengandungi تقعيد لفظي iaitu tersembunyinya makna yang dimaksudkan dengan meletakkan kalimah bukan pada tempatnya yang asal, atau mengasingkan perkataan yang sepatutnya diletakkan bersebelahan dan bersambung antara satu sama lain. Contohnya:

ما قرأ إلا واحدا محمد مع كتابا أخيه
Kalam ini tidak fasih kerana terdapat kelemahan pada penyusunan ayatnya. Asalnya ialah : ما قرأ محمد مع أخيه إلا كتابا واحدا .

4) Ayat yang digunakan tidak mengandungi تقعيد معنوي   iaitu kesukaran pemahaman pada makna ayat

Uslub terbahagi kepada tiga:

1)Uslub ilmiy أسلوب علمي
- Gaya yang paling tenang, mudah untuk difahami dan straight to the point. Contohnya, uslub yang digunakan dalam buku-buku akademik.

2)Uslub sastera أسلوب أدبي.
- Gaya yang mempamerkan keindahan atau kecantikan sesuatu dengan gambaran-gambaran dan khayalan-khayalan yang menarik dan tepat. Gaya ini menggambarkan sesuatu yang tersirat dengan sesuatu yang tersurat supaya kesannya lebih kuat dan jelas. Gaya ini terdapat pada sastera.

3)Uslub khutbah/pidato أسلوب خطبي.
-Gaya ini digunakan oleh pemidato/khatib supaya pendengarnya terkesan dengan khutbah yang diberikan dari segi lafaz dan maknanya yang terdiri daripada kekuatan hujah dan dalil. Pengulangan pada kalimat, dan menggunakan kosa kata yang pelbagai, mendatangkan perumpamaan dan memilih kalimah yang sesuai  dan sedap. Contohnya di dalam khutbah yang disampaikan oleh khatib.

Ilmu balaghah dibahagi kepada tiga bahagian:
- Ilmu bayan البيان
- Ilmu ma’ani المعاني
- Ilmu badi’البديع

Pecahan Ilmu bayan البيان:
-Tasybih التشبيه
-Haqiqah dan majaz الحقيقة والمجاز
-Kinayah الكناية

Pecahan Tasybih التشبيه:
-Tasybih mufrad مفرد
-Tasybih tamsili تمثيلي
-Tasybih dhimni ضمني
-Tasybih maqlub مقلوب

التشبيه ( perumpamaan)  ialah menerangkan sesuatu dengan sesuatu yang lain yang mana keduanya mempunyai sifat yang sama dengan اداة (alat perumpamaan) iaitu huruf ك  (kaf)  atau sebagainya samada dengan satu perkataan atau satu ayat.

Rukun tasybih ada empat:
- Musyabbah المشبه - Sesuatu yang  diumpamakan.
- Musyabbah bih المشبه به - Sesuatu yang diumpamakan dengannya.
- Adat tasybih أداة التشبيه : Huruf ,perkataan atau ayat yang digunakan bagi memberikan perumpamaan.
- Wajh syibh وجه الشبه - Sifat yang sama di antara musyabbah dan musyabbah bih.


Tasybih mufrad ialah tasybih yang  mempunyai satu musyabbah dan musyabbah bih,

Contoh: محمد كالأسد

Maksudnya:" Muhammad seperti singa".

Pembahagian tasybih mufrad مفرد :
-Tasybih mursal  مرسل– disebut adat tasybih.
-Tasybih muakkad مؤكد– dihazafkan adat tasybih.
-Tasybih mujmal مجمل – dihazafkan wajh syibh.
-Tasybih mufassol مفصل – disebut wajh syibh.
-Tasybih baligh بليغ – dihazafkan adat tasybih dan wajh syibh.



Tasybih tamsili ialah tasybih yang mempunyai pelbagai musyabbah dan musyabbah bih di dalamnya. .

Contoh: وكأن الهلال نون لجين    غرقت في صحيفة زرقاء

Maksudnya:" Bulan sabit seperti huruf nun keperakan yang tumpah pada lembaran berwarna biru."

Melalui bait ini, As-Sariyy mengumpamakan keadaan anak bulan yang putih, bersinar dan berbentuk sabit yang berada di langit yang biru dengan gambaran huruf nun daripada perak di atas kertas biru. Wajh syibhnya ialah, sesuatu yang berwarna putih, berbentuk sabit, di atas sesuatu yang berwarna biru.

Tasybih dhimni ialah tasybih yang tersembunyi  musyabbah dan musyabbah bih dan tiada padanya adat tasybih. Tasybih dhimni juga tidak terdapat di dalam alquran.

Contohnya: ترجو النجاة ولم تسلك مسالكها    إن السفينة لا تجري على اليبس

Maksudnya:" Engkau mahukan keselamatan  tetapi engkau tidak mengikut jalan- jalannya , kapal laut tidak belayar di dataran kontang."

Melalui bait ini, Abul-‘Atahiyah mengumpamakan orang yang ingin selamat dari azab akhirat tetapi tidak mengikuti jalannya dengan kapal yang berlayar di atas daratan. Ini adalah tasybih dhimni, kerana  musyabbah dan musyabbah bih tidak jelas

Tasybih maqlub ialah pembalikan kedudukan musyabbah dan musyabbah bih, dan wajh syibh pada musyabbah bih lebih kuat. Syarat bagi tasybih maqlub ialah sifat yang diketahui dan penukaran pada kalimat sahaja.

Contohnya: كأن ضوء النهار جبينه
Maksudnya :"Cahaya waktu siang seperti dahinya"

Pada kebiasaannya dahi diumpamakan dengan cahaya tetapi ayat diatas mengumpamakan cahaya dengan dahi. Dengan erti kata lain, dahi tersebut lebih bersinar berbanding cahaya pada waktu siang            

Tulisan ini merupakan kesimpulan diskusi yang telah ditulis oleh:
Nurul Shahirah binti Muhamad Masrudin,
Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan

Disemak dan disunting oleh:
Amirul Asyraaf bin Noor Shaini
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan




* DISKUSI BAHASA ARAB :KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH  merupakan sebuah program anjuran Unit Takhassus Bahasa dan Kesusasteraan Arab Biro Akademik dan Intelektual (BAKI) bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti al Bayt Jordan (PRISMA). Program ini merupakan program berbentuk perbincangan yang dikendalikan dan dihadiri oleh Mahasiswa Universiti Al Bayt.