Wednesday, August 10, 2016

DISKUSI BAHASA ARAB siri 1 : KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH


Fasohah (الفصاحة )
Balaghah ( البلاغة )
Uslub ( الأسلوب)

Fasohah ialah sifat kepada lafaz(لفظ), kalam (كلام ) dan mutakallim (متكلم ). Contohnya, kita boleh kata: lafaz yang fasih, kalam yang fasih dan lelaki yang fasih. Adapun balaghah ialah sifat kepada kalam dan mutakallim sahaja. Contohnya, kalam yang baligh, lelaki yang baligh. Maka fasohah lebih umum dan balaghah lebih khusus. Setiap balaghah adalah fasohah, tetapi bukan setiap fasohah adalah balaghah.

Kalam yang fasih mempunyai makna yang jelas, senang untuk dilafazkan dan tidak mempunyai kesalahan. Contohnya perkataan al-muznah (المزنة ) dan ad-dimnah ( الدمنة ). Kedua-duanya membawa maksud yang sama iaitu, hujan yang turun tanpa guruh dan petir dan lebih senang untuk disebut dan didengari berbanding perkataan al-bu’aaq ( البعاق )  yang mempunyai makna yang sama dengan perkataan sebelumnya.

Syarat-syarat kalam yang fasih:

1- تسليم من ضعف التأليف
2- تسليم من تنافر الكلمات
3- تسليم من التعقيد اللفظي
4- تسليم من التعقيد المعنوي

1) Bebas daripada kelemahan penulisan iaitu terkeluarnya kalam daripada kaedah umum. Contohnya,"ضمير" (kata ganti nama) merujuk kepada perkataan yang selepasnya, dimana kaedah umum bagi kata ganti nama  adalah kembali kepada lafaz yang sebelumnya seperti yang terdapat dalam kata-kata  Hasan r.a. :

ولو أن مجدا أخلد الدهر واحدا       من الناس أبقى مجده الدهر مطعما

kata ganti nama pada مجده  merujuk kepada مطعما  iaitu lafaz yang berada selepasnya. Maka bait syair ini tidak fasih.

2) Kalimah yang tidak mengelirukan sehingga menyebabkan kesukaran pada penutur dan pendengar. Seperti kata seorang penyair:

وقبر حرب بمكان قفر      وليس قرب قبر حرب قبر

bait syair diatas dikatakan tidak mampu diucapkan dengan lancar walaupun telah diulang sebut sebanyak tiga kali.

3) Ayat yang digunakan tidak mengandungi تقعيد لفظي iaitu tersembunyinya makna yang dimaksudkan dengan meletakkan kalimah bukan pada tempatnya yang asal, atau mengasingkan perkataan yang sepatutnya diletakkan bersebelahan dan bersambung antara satu sama lain. Contohnya:

ما قرأ إلا واحدا محمد مع كتابا أخيه
Kalam ini tidak fasih kerana terdapat kelemahan pada penyusunan ayatnya. Asalnya ialah : ما قرأ محمد مع أخيه إلا كتابا واحدا .

4) Ayat yang digunakan tidak mengandungi تقعيد معنوي   iaitu kesukaran pemahaman pada makna ayat

Uslub terbahagi kepada tiga:

1)Uslub ilmiy أسلوب علمي
- Gaya yang paling tenang, mudah untuk difahami dan straight to the point. Contohnya, uslub yang digunakan dalam buku-buku akademik.

2)Uslub sastera أسلوب أدبي.
- Gaya yang mempamerkan keindahan atau kecantikan sesuatu dengan gambaran-gambaran dan khayalan-khayalan yang menarik dan tepat. Gaya ini menggambarkan sesuatu yang tersirat dengan sesuatu yang tersurat supaya kesannya lebih kuat dan jelas. Gaya ini terdapat pada sastera.

3)Uslub khutbah/pidato أسلوب خطبي.
-Gaya ini digunakan oleh pemidato/khatib supaya pendengarnya terkesan dengan khutbah yang diberikan dari segi lafaz dan maknanya yang terdiri daripada kekuatan hujah dan dalil. Pengulangan pada kalimat, dan menggunakan kosa kata yang pelbagai, mendatangkan perumpamaan dan memilih kalimah yang sesuai  dan sedap. Contohnya di dalam khutbah yang disampaikan oleh khatib.

Ilmu balaghah dibahagi kepada tiga bahagian:
- Ilmu bayan البيان
- Ilmu ma’ani المعاني
- Ilmu badi’البديع

Pecahan Ilmu bayan البيان:
-Tasybih التشبيه
-Haqiqah dan majaz الحقيقة والمجاز
-Kinayah الكناية

Pecahan Tasybih التشبيه:
-Tasybih mufrad مفرد
-Tasybih tamsili تمثيلي
-Tasybih dhimni ضمني
-Tasybih maqlub مقلوب

التشبيه ( perumpamaan)  ialah menerangkan sesuatu dengan sesuatu yang lain yang mana keduanya mempunyai sifat yang sama dengan اداة (alat perumpamaan) iaitu huruf ك  (kaf)  atau sebagainya samada dengan satu perkataan atau satu ayat.

Rukun tasybih ada empat:
- Musyabbah المشبه - Sesuatu yang  diumpamakan.
- Musyabbah bih المشبه به - Sesuatu yang diumpamakan dengannya.
- Adat tasybih أداة التشبيه : Huruf ,perkataan atau ayat yang digunakan bagi memberikan perumpamaan.
- Wajh syibh وجه الشبه - Sifat yang sama di antara musyabbah dan musyabbah bih.


Tasybih mufrad ialah tasybih yang  mempunyai satu musyabbah dan musyabbah bih,

Contoh: محمد كالأسد

Maksudnya:" Muhammad seperti singa".

Pembahagian tasybih mufrad مفرد :
-Tasybih mursal  مرسل– disebut adat tasybih.
-Tasybih muakkad مؤكد– dihazafkan adat tasybih.
-Tasybih mujmal مجمل – dihazafkan wajh syibh.
-Tasybih mufassol مفصل – disebut wajh syibh.
-Tasybih baligh بليغ – dihazafkan adat tasybih dan wajh syibh.



Tasybih tamsili ialah tasybih yang mempunyai pelbagai musyabbah dan musyabbah bih di dalamnya. .

Contoh: وكأن الهلال نون لجين    غرقت في صحيفة زرقاء

Maksudnya:" Bulan sabit seperti huruf nun keperakan yang tumpah pada lembaran berwarna biru."

Melalui bait ini, As-Sariyy mengumpamakan keadaan anak bulan yang putih, bersinar dan berbentuk sabit yang berada di langit yang biru dengan gambaran huruf nun daripada perak di atas kertas biru. Wajh syibhnya ialah, sesuatu yang berwarna putih, berbentuk sabit, di atas sesuatu yang berwarna biru.

Tasybih dhimni ialah tasybih yang tersembunyi  musyabbah dan musyabbah bih dan tiada padanya adat tasybih. Tasybih dhimni juga tidak terdapat di dalam alquran.

Contohnya: ترجو النجاة ولم تسلك مسالكها    إن السفينة لا تجري على اليبس

Maksudnya:" Engkau mahukan keselamatan  tetapi engkau tidak mengikut jalan- jalannya , kapal laut tidak belayar di dataran kontang."

Melalui bait ini, Abul-‘Atahiyah mengumpamakan orang yang ingin selamat dari azab akhirat tetapi tidak mengikuti jalannya dengan kapal yang berlayar di atas daratan. Ini adalah tasybih dhimni, kerana  musyabbah dan musyabbah bih tidak jelas

Tasybih maqlub ialah pembalikan kedudukan musyabbah dan musyabbah bih, dan wajh syibh pada musyabbah bih lebih kuat. Syarat bagi tasybih maqlub ialah sifat yang diketahui dan penukaran pada kalimat sahaja.

Contohnya: كأن ضوء النهار جبينه
Maksudnya :"Cahaya waktu siang seperti dahinya"

Pada kebiasaannya dahi diumpamakan dengan cahaya tetapi ayat diatas mengumpamakan cahaya dengan dahi. Dengan erti kata lain, dahi tersebut lebih bersinar berbanding cahaya pada waktu siang            

Tulisan ini merupakan kesimpulan diskusi yang telah ditulis oleh:
Nurul Shahirah binti Muhamad Masrudin,
Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan

Disemak dan disunting oleh:
Amirul Asyraaf bin Noor Shaini
Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab Universiti al Bayt Jordan




* DISKUSI BAHASA ARAB :KITAB AL-BALAGHAH AL-WADHIHAH  merupakan sebuah program anjuran Unit Takhassus Bahasa dan Kesusasteraan Arab Biro Akademik dan Intelektual (BAKI) bagi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti al Bayt Jordan (PRISMA). Program ini merupakan program berbentuk perbincangan yang dikendalikan dan dihadiri oleh Mahasiswa Universiti Al Bayt.


1 comment: